BORUSSIA DORTMUND 4 SCHALKE 0

Erling Haaland menyamai rekod jaringan Bundesliga selepas menjaringkan satu gol ketika Borussia Dortmund menewaskan seteru tradisi, Schalke, 4-0 tatkala kejohanan itu kembali bersambung malam tadi.


Pemain kebangsaan Norway itu menyudahkan umpanan lintang Thorgan Hazard pada minit ke-29 untuk menjaringkan gol pertama sejak liga divisyen utama itu direhatkan pada Mac lalu gara-gara pandemik Covid-19.

Ia merupakan jaringannya yang ke-13 daripada 12 penampilan dalam kesemua kejohanan sejak menyertai Dortmund, Januari lalu, sekali gus menjadikannya pemain Bundesliga kedua mencatatkan rekod itu selepas Klaus Matischak melakukannya bersama Schalke dalam musim 1963-64.

Rekod jaringan Haaland dalam Bundesliga pula kini mencapai 10 gol daripada sembilan penampilan.

Sebagai rekod, hanya Gert Dorfel dan Paco Alcacer dapat mancapai jumlah jaringan itu dalam waktu yang lebih singkat (kedua-duanya dalam lapan penampilan).