Bintang Borussia Dortmund, Erling Haaland akan "menentukan era" menurut penyerang Atletico Madrid, Luis Suarez, yang menempatkannya di depan berbanding bintang sensasi Paris Saint-Germain (PSG), Kylian Mbappe.

Haaland terus menyerlah di Eropah ketika penyerang Dortmund itu dilaporkan menarik minat Real Madrid, Manchester City, Barcelona, Manchester United, Chelsea, Juventus, Paris Saint-Germain dan Liverpool.

Pemain berusia 20 tahun itu, yang menyertai Dortmund dari Salzburg Januari tahun lalu, meledak dua kali ketika seri 2-2 dengan Cologne -- pemain kebangsaan Norway itu telah merekodkan 14 gol di tempat lawan dalam saingan Bundesliga musim ini, lebih daripada jaringan Werder Bremen (13), Hertha Berlin (13), Mainz (11), Arminia Bielefeld (10) dan Schalke (lapan) di laman sendiri bagi musim 2020-21.

Suarez memuji Haaland, yang telah menjaringkan 21 gol dalam 21 penampilan liga musim ini dan 33 bagi semua pertandingan.

"Dia [Haaland] adalah pemain yang hebat, dia berada di tahap yang luar biasa, dia mempunyai kekuatan fizikal yang luar biasa," kata Suarez.

"Dia adalah salah seorang nombor sembilan terbaik dunia dan akan menentukan era.

"Saya sedikit lebih memihak kepada Haaland, tetapi [penyerang PSG Kylian] Mbappe berada pada tahap yang hebat."