Bintang muda yang menyinar dalam Piala Konfederasi 2017, Leon Goretzka, berharap dia akan terus meningkat, namun cuba untuk mengelak daripada memikirkan spekulasi tentang perpindahannya ke Bayern Munich.

Pengarah sukan Schalke, Christian Heidel, menegaskan Goretzka akan kekal di Veltins-Arena pada musim depan sambil menyifatkan pemain tengah itu sebagai tonggak utama pasukan.

Pemain berusia 22 tahun itu menampilkan aksi bertenaga apabila membarisi skuad Joachim Low untuk melangkah ke final Piala Konfederasi di Russia.

Dia menjaringkan dua gol dalam masa dua minit dalam kemenangan 4-1 ke atas Mexico di peringkat separuh akhir.

Biarpun aksinya menarik minat pengendali Bayern, Carlo Ancelotti, Goretzka tidak mahu memikirkannya, sebaliknya mahu fokus kepada corak permainannya sendiri.

“Saya adalah seorang yang memiliki mentaliti yang kuat serta taktikal yang tinggi tetapi dalam masa sama, masih banyak aspek yang boleh dipertingkatkan,” katanya.

Goretzka juga melaungkan keyakinannya selepas berjaya layak ke final Piala Konfederasi 2017.

“Kami telah membuktikan kami mampu bermain corak bola sepak yang menarik.

“Paling penting, kami berjaya meraih sokongan dan itu yang membezakan kami,” tambahnya.