Ketua jurulatih Juventus, Andrea Pirlo, berkata bahawa penyerang Chelsea, Olivier Giroud, akan menjadi pemain berguna untuk ditandatangani pasukan gergasi Serie A itu.

Giroud, 34, sekali lagi dikaitkan untuk meninggalkan Chelsea selepas hanya memulakan enam perlawanan dalam kesemua kejohanan musim ini.

Juve dan Inter Milan antara pasukan yang dikaitkan untuk mendapatkan pemain kebangsaan Perancis itu, yang menjaringkan sembilan gol buat Chelsea sepanjang musim 2020-21.

Pirlo mengesahkan Juventus berminat untuk mendapatkan penyerang itu dalam jendela perpindahan bulan ini.

"Giroud? Kami boleh memanfaatkannya," katanya kepada DAZN selepas mencatatkan kemenangan 4-1 ke atas Udinese dalam Serie A.

"Tetapi ia satu perkara yang (Pengarah Kesukanan Juventus, Fabio) Paratici lebih arif berbanding saya.

"Kami ada berbincang mengenainya tetapi ayuh lihat jika kami akan melakukan sesuatu dalam beberapa hari ini," katanya.

Juventus kini berada di tangga kelima Serie A dengan 10 mata di belakang pendahulu, AC Milan, tetapi memiliki kelebihan satu perlawanan dalam tangan.