Matthias Ginter memilih untuk kekal bersama Borussia Monchengladbach di sebalik laporan yang mencadangkan terdapat beberapa kelab Eropah mahu mendapatkan khidmatnya.

Pertahanan Jerman itu telah dikaitkan dengan Chelsea, Inter dan Atletico Madrid.

Bagaimanapun, selepas berakhirnya musim 2019-20 yang menyaksikan Gladbach menamatkan saingan di tempat keempat Bundesliga dan layak ke Liga Juara-Juara (UCL), Ginter mahu membantu The Foals melangkah ke hadapan.

"Saya sudah pasti akan kekal di Gladbach," kata Ginter.

"Saya telah dengar beberapa pertanyaan yang diberikan kepada saya namun saya tetap mahu kekal di Gladbach.

"Pasukan ini memiliki potensi yang sangat besar. Dan jurulatih, [Marco Rose] memberikan sesuatu yang sangat bernilai buat kami semua.

"Dengan barisan penyokong dan suasana di stadium, kelab ini dalam proses untuk berkembang maju. Saya mahu berkongsi dengan pasuukan untuk mencapai cita-cita tersebut dan memiliki kontrak lagi bersama pasukan."