Ketua jurulatih Napoli, Gennaro Gattuso, mengakui Arkadiusz Milik 'mahu suasana baru' ketika bintang itu menyatakan hasrat untuk berhijrah.

Kontrak Milik bakal berakhir pada penghujung musim 2020-21 dan pemain kebangsaan Poland itu tidak berancang untuk melanjutkan kontrak bersama kelab selepas dikaitkan dengan juara Serie A, Juventus, kelab LaLiga, Atletico Madrid sementara terdapat jugak minat daripada England.

Sepanjang spekulasi yang mengelilingi Milik -- yang menjaringkan 37 gol liga sejak berhijrah dari Ajax pada 2016 -– Gattuso telah ditanyakan mengenai penyerang berusia 26 tahun itu berikutan kemenangan 2-1 ke atas Genoa.

"Sukar untuk mencari pemain lebih baik berbanding Milik," kata Gattuso.

"Bagaimanapun, apabila seorang pemain itu percaya waktunya bersama kelab sudah berakhir anda mahu mendapatkan pemandangan baru, anda harus dengar dan mengikut isi hatinya.

"Anda tidak boleh menghalang keinginnya kerana ia akan menyukarkan pemain itu untuk beraksi cemerlang. Anda harus hormati permintaan pemain."
Sementara Milik hampir meninggalkan pasukan, Napoli dilaporkan berusaha menandatangani bintang Lille, Victor Osimhen, sebagai penggantinya.

Osimhen telah disebut-sebut akan menyertai Napoli, dengan laporan yang menunjukkan bahawa dia telah bertemu dengan presiden, Aurelio De Laurentiis dan Gattuso.

Pemain berusia 21 tahun itu telah berkembang di Lille setelah berkelana dari Sporting Charleroi (Belgium) pada awal musim, dengan menjaringkan 18 gol dalam semua pertandingan.

Mengenai Osimhen, yang juga dikaitkan dengan Manchester United dan Arsenal, Gattuso berkata: "Dia berbeza, tetapi saya tidak mahu membincangkan mengenainya. Sekiranya Osimhen bersama Napoli, saya akan menerangkan dengan lebih lanjut."