Ketika bersedih dan kecewa selepas peluang untuk melangkah ke separuh akhir Liga Juara-Juara (UCL) dirampas pada penghujung permainan, ketua jurulatih Atalanta, Gian Piero Gasperini, kekal positif, menggariskan bahawa presiden kelab, Antonio Percassi, sentiasa memberikan sasaran 40 mata untuk memastika pasukan kekal dalam saingan Serie A setiap musim.

Atalanta hampir menjadi kisah Cinderella buat bola sepak Itali dan Eropah musim ini, memecah rekod ketika menamatkan saingan di tempat ketiga Serie A dan mara ke pusingan suku akhir UCL.

Skuad bimbingan Gasperini -- yang bertanding dalam suku akhir UCL buat kali pertama -- di ambang mencipta kejutan untuk melangkah ke separuh akhir awal pagi tadi, bagaimanapun mereka telah diatasi oleh Paris Saint-Germain (PSG) yang melengkapkan kebangkitan untuk menang 2-1 di Lisbon.

Jaringan separuh masa pertama Mario Pasalic kelihatan sudah cukup buat Atalanta, sehinggalah Marquinhos menyamakan kedudukan pada minit ke-90 sebelum Eric Maxim Choupo-Moting meledak gol kemenangan pada minit ketiga masa kecederaan.

"Kami sangat kecewa kerana hampir melangkah ke separuh akhir," kata Gasperini. "Ia mampu menjadi sesuatu yang luar biasa. Kami perlu mempertingkatkan lagi mutu permainan musim depan.

"Kami menamatkan saingan di tempat ketiga Serie A buat kali kedua berturut-turut. Kami tidak pernah memulakan musim untuk mengejar Scudetto, kami meletakkan sasaran untuk membina dan memperbaiki permainan.

"Objektif pasukan yang ditetapkan oleh presiden setiap musim adalah kekal terselamat dalam Serie A!, kami meningkatkan pencapaian itu dan gembira kembali beraksi dalam UCL, ia boleh dianggap sebagai satu kejayaan."

Gasperini, yang menyelia pasukannya untuk meledak 98 gol dalam saingan Serie A musim ini, berkata lagi, "Kekecewaan terbesar kami adalah sangat hampir untuk berasakan kami berpeluang untuk mencipta kejayaan dalam kejohanan ini.

"Namun kepuasan buat kami adalah beraksi dalam UCL dan meningkat naik berdepan barisan pasukan terbaik Eropah. Saya hanya mengucapkan terima kasih kepada barisan pemain bagi musim ini.

"UCL adalah pertandingan yang istimewa dan Jose Mourinho pernah mengatakan ia adalah pertandingan yang memerlukan ketelitian. Ia yang membezakan pasukan yang menang dan kalah."