Real Sociedad dan Athletic Bilbao sepakat untuk membuat permohonan agar perlawanan akhir Copa del Rey diadakan dengan kehadiran penonton di stadium.

Segala aktiviti sukan di Sepanyol ditangguhkan sejak Mac lalu berikutan wabak novel koronavirus (Covid-19) manakala belum ada tarikh sebenar untuk menyambung saingan LaLiga atau final Copa yang tertunda.

Kelab diberi kebenaran untuk kembali mengadakan sesi latihan individu mulai semalam dengan protokol ketat yang perlu dipatuhi.



Perdana Menteri Sepanyol, Pedro Sanchez, Sabtu lalu berasa optimis sukan boleh kembali tidak lama lagi tetapi kemungkinan ia akan dilangsungkan di gelanggang tertutup.

Namun, seteru Basque itu menuntut Persekutuan Bolasepak Diraja Sepanyol (RFEF) mengecualikan langkah itu sempena final Copa del Rey yang sepatutnya berlangsung di Estadio de la Cartuja,Seville, 18 April lalu.

"Keinginan dan kehendak kedua-dua kelab adalah untuk beraksi dan menikmati perlawanan akhir ini di samping penyokong. Inilah yang paling kami mahukan. Pertembungan final perlu diadakan dengan kehadiran penyokong kami di dalam stadium.

"Pada masa yang sama, Real Sociedad dan Athletic Club mahu jaminan RFEF bahawa perlawanan akhir itu akan dimainkan sebagai perlawanan rasmi dan oleh itu, ia akan dianggap sebagai gelaran rasmi."