Ketua jurulatih Borussia Dortmund, Lucien Favre, yakin Jadon Sancho akan mendapatkan semula persembahan terbaiknya selepas menjaringkan gol ketika meraih kemenangan ke atas Club Brugge.

Sancho menjadi pemain kelahiran England pertama untuk menjaringkan menerusi sepakan percuma dalam saingan Liga Juara-Juara (UCL) ketika beraksi untuk kelab di luar England sejak David Beckham untuk Real Madrid pada 2005.

Penyerang itu gagal mencapai piawaian seperti musim lalu, di mana dia meledak 20 gol dalam 19 assist dalam 44 perlawanan.

Jaringan Sancho ke atas Brugge merupakan yang ketiga musim ini, selepas mencipta empat assist, dalam 10 perlawanan.



Favre gembira menyaksikan pemain berusia 20 tahun itu -- yang telah dikaitkan dengan Manchester United sebelum ini -- kembali mencetak jaringan dan percaya dia akan kembali mendapatkan sentuhan terbaiknya.

"Sudah tentu, saya sangat gembira kerana dia menjaringkan gol lagi. Gol yang sangat cantik menerusi sepakan percuma. Kami mempunyai beberapa pemain yang boleh melakukannya. Dia melakukannya dengan sangat baik," katanya.

"Jaringannya melegakan kami. Kelebihan dua jaringan selepas perlawanan bersambung dalam separuh masa kedua amat penting.

"Secara keseluruhan, dia bermain dengan baik, banyak berlari. Tetapi saya ulangi, itu normal, pemain tidak selalu berada dalam keadaan terbaik. Kadang-kadang seperti ini, kemudian seperti itu."