FAM tidak iktiraf kontrak kedua

By Ammar Hakim 10 August 2020 421
FAM tidak iktiraf kontrak kedua
Pernahkah anda mengetahui atau mendengar tentang pemain bola sepak Liga Malaysia memiliki dua kontrak serentak? atau dengan bahasa mudahnya jumlah gaji dalam kontrak utama lebih rendah berbanding kontrak kedua.

Sebenarnya ia bukan perkara baru tetapi telah diamalkan kebanyakan pasukan hingga sekarang. 

Masalah akan timbul sekiranya pemain mahukan pembelaan jika wujud isu tunggakan gaji, kerana kontrak kedua tidak diiktiraf Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM).

Ikuti penjelasan Setiausaha Agung (FAM), Stuart Ramalingam.

"Apabila perkara ini melibatkan tunggakan gaji, FAM akan hanya mengambil kontrak utama dalam sistem FAM sebagai keputusan terakhir," kata Stuart.

"Jadi ia amat penting jika hanya ada satu kontrak utama bagi memudahkan urusan jika melibatkan tunggakan gaji."

Sementara itu, perancang tengah Melaka, Safiq Rahim, mengakui tidak pernah berdepan dengan pengalaman atau menerima kontrak bertindih sepanjang kariernya.

Pernah menjadi pemain yang menerima gaji paling lumayan dalam kancah Liga Malaysia, Safiq menegaskan setiap pemain perlu jujur dengan kontrak masing-masing.

"Pemain dan pihak pengurusan harus saling menghormati. Saya tidak berniat untuk mengangkat Johor Darul Ta'zim (JDT) tetapi mereka menunjukkan contoh yang terbaik," kata Safiq.

About Author

Ammar Hakim

Comment