Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin, akan mengadakan perbincangan lanjut Isnin depan mengenai tujuh pemain daripada skuad B-18 negara yang akan menjalani ujian pemilihan dan latihan di Jepun.

Tujuh pemain muda negara itu menarik minat beberapa kelab Jepun selepas mempamerkan aksi cemerlang dalam Kejohanan AFF B-18 di Bandaraya Ho Chi Minh, Vietnam baru-baru lalu.

Pengerusi Jawatankuasa Teknikal dan Pembangunan Bola Sepak Belia FAM, Datuk Seri Subahan Kamal, menjelaskan tarikh dan program latihan di Jepun itu akan ditentukan selepas perbincangan berkenaan.

"Kami memang sudah menghantar beberapa nama tetapi sepertimana yang kita sedia maklum, ada delegasi daripada FAM yang akan ke Jepun pada hujung bulan ini.

"Dan saya yakin, pada waktu itu, Datuk Presiden (Hamidin) akan mengadakan perbincangan dengan presiden Persatuan Bolasepak Jepun tentang sesiapa yang kami nak hantar, mungkin tujuh, mungkin lebih dan sebagainya.

"Saya rasa lebih elok jika kita tunggu selepas lawatan FAM ke Jepun," katanya.

Sementara itu, Subahan menegaskan FAM amat serius mengenai masa depan pemain muda negara dan akan mengadakan mesyuarat jawatankuasa teknikal bagi membincangkan rancangan jangka masa panjang buat pasukan itu.

Ia termasuk perbincangan untuk membuat keputusan rasional mengenai 10 pemain pasukan itu yang telah dilamar oleh Johor Darul Ta'zim (JDT).

"Memang benda itu akan dibawa dalam mesyuarat jawatankuasa teknikal yang saya pengerusikan dan Insya-Allah, (akan diadakan) dalam dua minggu lagilah.

"Selepas mesyuarat itu, boleh tanya saya baliklah," tambahnya.