Pengurus England, Gareth Southgate, menegaskan bahawa dia tidak pernah meragui kualiti yang dimiliki Luke Shaw.

Pertahanan kiri Manchester United itu dijangka akan melakukan penampilan pertamanya bersama England sejak dua setengah tahun lalu ketika pasukan itu berdepan Albania dalam pusingan kelayakan Piala Dunia awal pagi esok.

Shaw hanya mempunyai lapan penampilan dan tidak pernah mewakili England sejak perlawanan Liga Negara-Negara Eropah menentang Sepanyol pada September 2018.

Dia amat menyerlah di peringkat kelab bersama Manchester United musim ini dan diberikan tempat dalam skuad England, di mana Southgate berkata pemain itu benar-benar layak untuk mendapat panggilan berkenaan.

"Luke sebenarnya bermain dalam perlawanan pertama saya mengendalikan skuad B-21 -- John Stones bermain di sebelah kanan," kata Southgate menjelang perlawanan menentang Albania di Tirana.

"Tiada sebarang keraguan di minda kami berkenaan kualiti yang dimiliki Luke.

"Amat jelas, dia mengalami kecederaan dan perlu berehat daripada pasukan. Tetapi amat baik untuk dapat melihat dia kembali menyerlah di bahagian pertahanan sayap, dengan atau tanpa bola.

"Dia merupakan antara yang paling menyerlah dengan gaya pertahanannya dan amat berani dengan cara serangannya dan ia amat penting.

"Dia kelihatan sedang berada dalam kondisi fizikal yang baik untuk bergerak ke depan dan mempunyai kualiti yang tinggi ketika bersama bola.

"Ia momen yang baik buatnya. Saya dapat melihat seseorang yang benar-benar gembira untuk berada di sini, menikmati permainannya dan bermain dengan yakin.

"Yang utama, Luke adalah pertahanan yang baik dan amat penting buat kami. Kami perlu kekal tidak dibolosi. Dia kelihatan sudah mengukir senyuman di wajahnya," katanya.