ENGLAND 2 BELGIUM 1

Gareth Southgate melihat masih ada ruang untuk diperbaiki England tetapi menyifatkan kemenangan sukar ke atas Belgium dalam Liga Negara-Negara (UNL) sebagai "detik penting" buat pemainnya.


Rembatan Mason Mount menjulang kemenangan 2-1 England di Wembley di sebalik pencabar belum mengalami kekalahan sejak November 2018.

Kedua-dua pasukan saling dihadiahkan sepakan penalti dalam separuh masa pertama dengan pelawat terlebih dahulu di depan, namun England meningkatkan permainan sejurus rehat untuk melakar kemenangan ke-20 dalam 21 perlawanan.

Walaupun merendah diri dalam kejayaan menundukkan pasukan yang berada di puncak ranking Persekutuan Bola Sepak Dunia (FIFA) itu, Southgate gembira dengan prestasi anak buahnya terutama dalam aspek bertahan.

"Kami masih boleh meningkat lagi. Kami tidak boleh terbawa-bawa dengan kemenangan ini, kami harus meneruskannya ketika menentang Denmark, ia seharusnya menjadi pendekatan pertama dan paling utama," katanya kepada Sky Sports.

"Kami sedar kualiti dimiliki lawan pada hari ini dan sememangnya kami bercita-cita beraksi dengan tekal.

"Peluang akan menjadi lebih terhad dalam perlawanan seperti ini tetapi ia menuntut tumpuan penuh dengan pendekatan terperinci. Untuk meraih kemenangan seperti ini, ia satu kejayaan yang beerti bagi kami.

"Kami boleh mengamalkan permainan menyerang, mendapatkan jaringan yang besar tetapi apabila berdepan sebuah pasukan terbaik, perincian dalam soal bagaimana anda bertahan sebagai sebuah pasukan harus benar-benar jitu. Dalam babak kedua, kami lebih menguasai perlawanan selepas bergelut dengan kualiti dan pergerakan lawan."



Southgate kemudian menggariskan ancaman Belgium, khususnya dalam pembukaan perlawanan yang menyaksikan Romelu Lukaku membuka tirai jaringan sebelum Marcus Rashford menyamakan kedudukan.

Bagaimanapun, pengurus England itu berasakan pengalaman berkenaan akan memberi manfaat jangka panjang kepada sebilangan pemain antarabangsa yang lebih muda dan kurang berpengalaman dalam aspek perkembangan mereka.

"Mereka merupakan pemain yang bagus, Belgium sebuah pasukan handalan. Pertahanan kami diuji dalam pelbagai sudut tetapi adalah menjawab soalan-soalan itu lebih sukar," katanya.

"Banyak keputusan yang perlu dibuat oleh pemain kami secara bertahan. Yang pasti, mereka menimbulkan masalah kepada kami dan kami gagal menyusun gerakan.

"Kami agak lambat untuk menggerakkan bola ke atas kami tidak menarik pemain mereka ke sayap demi memudahkan kami untuk bertahan.

"Ini adalah pertembungan yang sukar dan kami mempunyai ramai pemain muda - Declan Rice, Mount, Trent Alexander-Arnold kesemuanya akan menimba pengalaman yang sangat hebat."