Unai Emery mengkritik pengadil, Deniz Aytekin; penyerang Barcelona, ​​Luis Suarez dan pemain Paris Saint-Germain (PSG) yang tidak dinyatakan namanya ketika mengimbau kekalahan 1-6 dalam kempen Liga Juara-Juara (UCL) di Camp Nou pada 2017.

PSG, yang diuruskan Emery ketika itu, meraih kemenangan 4-0 dalam pertemuan pusingan 16 itu tetapi tanggal 8 Mac akan dikenang pengendali dari Sepanyol tersebut sebagai yang terburuk dalam kariernya apabila membenarkan Barca bangkit dalam aksi timbal balik.

Mendahului 3-1 pada malam itu tetapi masih ketinggalan 3-5 secara agregat setelah 88 minit permainan, Barca diambang penyingkiran.

Namun, mereka meledak tiga gol pada penghujung perlawanan yang dramatik itu untuk kebangkitan terhebat dalam sejarah UCL setelah bintang masa depan PSG, Neymar, merakamkan dua gol buat skuad tuan rumah kendalian Luis Enrique berkenaan.

Mengenang kekalahan dahsyat itu tiga tahun kemudian, Emery mengakui terkejut dengan tindakan pengadil Turki, Aytekin.

Dia juga percaya Suarez terlalu mudah untuk merebahkan badannya di dalam kotak penalti sambil menganggap ada pemain PSG yang "bersembunyi".


"Ada banyak aspek yang menjadi perhatian perlawanan itu," katanya kepada EFE dalam temu bual di samping bekas pembantu di Sevilla, Diego Martinez, yang kini mengemudi Granada.

"Tetapi jika saya boleh mengulangi perlawanan tersebut, saya akan menukar pengadil dan itu sahaja. Saya mula mengesannya ketika menonton ulangan perlawanan berkenaan. Saya menontonnya dari minit ke-50 hingga ke-82.

"Kami ketinggalan 0-3, kami menyumbat gol untuk menjadikannya 1-3. Edinson Cavani memiliki peluang satu lawan satu dengan penjaga gawang untuk menjadikannya 2-3, sepakan penalti tidak memihak Angel Di Maria pada minit ke-82 sebelum dia sendiri mengasari Neymar untuk gol kemenangan pihak lawan. Ketika itulah saya berhenti menontonnya.

"Dalam tempoh itu, saya menhidu salah seorang tonggak utama kami, yang mengalami masalah kecederaan musim itu, tenggelam. Jika ia terjadi ketika ini, saya mungkin akan membuat pertukaran.

"Itulah perincian perlawanan itu, keadaan yang menyebabkan kami berputih mata.

"Kemudian ada faktor lain. Pemain Barcelona ​terutama Suarez akan merebahkan badannya di dalam kotak penalti, memberi tekanan kepada pengadil sehingga dia jatuh ke dalam perangkap mereka."

Barca kemudian disingkirkan finalis, Juventus, di peringkat suku akhir.