Walaupun tidak disabitkan dengan kesalahan isu gaji oleh Liga Bolasepak Malaysia (MFL) hujung bulan lalu, pasukan Terengganu FC (TFC) dikatakan masih terpalit dengan isu itu.

Tunggakan gaji bekas pemain dan jurulatih sejak 2018 juga belum dijelaskan termasuk caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) serta cukai pendapatan.

Bayaran hanya dibuat kepada bekas pemain import, Kipre Tchetche, berikutan penyerang itu perlu berangkat ke Korea Selatan untuk kelayakan Liga Juara-Juara Asia (ACL).

"Pemain-pemain yang masih kekal bersama pasukan berkenaan musim ini mungkin tidak berani untuk bersuara.

"Saya pesan kepada bekas pemain lain supaya bersabar, saya sendiri tidak bersuara sedangkan sudah dua tahun menunggu.

"Yang menjadi persoalan bagaimana mereka terlepas daripada sebarang hukuman," menurut sumber rapat pasukan itu menerusi panggilan telefon.

Isu tunggakan gaji awal bulan ini menyaksikan PDRM dipotong tiga mata manakala Kelantan dan Melaka terlepas selepas persetujuan dicapai bersama pihak terlibat.

TFC turut berdepan masalah sama melibatkan bekas pemain, Ahmad Syamim Yahya, Adib Aizuddin Ab Latif, Khairu Azrin Khazali serta bekas pengendali, Irfan Bakti Abu Salim.

Meskipun diberi jaminan Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT), tiada perkhabaran terkini sekaligus situasi itu disifatkan oleh sumber sebagai semakin parah.

"Bahagian saya saja sudah tertunggak sejak 2018 tidak termasuk sebelum meninggalkan pasukan musim lalu.

"Bagaimana pula nasib pemain yang tidak dikekalkan, mereka juga menanti hak mereka," tambahnya lagi.