Dua produk Harimau Muda, Shahrul Saad dan Irfan Fazail, berasakan usaha sama di antara Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dan Majlis Sukan Negara (MSN) dalam mewujudkan satu pasukan belia baru merupakan satu platform bagi melahirkan pemain terbaik yang dapat menyumbang dalam arena bola sepak negara.

FAM dan MSN difahamkan sedang membincangkan satu projek yang akan menghimpunkan graduan Akademi Mokhtar Dahari untuk bersaing dalam Liga Perdana 2021.

Program itu kelihatan persis projek Harimau Muda, yang dibubarkan pada 2015.

Bagi bekas produk Harimau Muda, Irfan, berasakan kewujudan program seperti itu dapat menghasilkan satu suasana kompetitif dalam kalangan pemain muda.

"Tidak dinafikan kelab dan pasukan negeri di negara kita sudah mempunyai pasukan pelapis, jadi secara tidak langsung, dengan adanya pasukan persis Harimau Muda ini, ia akan memberikan suasana yang lebih kompetitif buat pemain-pemain muda bagi masa depan mereka," katanya.

Seorang lagi bekas pemain Harimau Muda, Shahrul, menambah: "Ia juga merupakan faktor penting kerana sewaktu saya bermain (untuk Harimau Muda), kebanyakan pemain yang tidak dipilih mewakili mana-mana kelab menamatkan karier mereka sebegitu sahaja.

"Jadi, dengan adanya program seperti ini, ia dapat membuka peluang untuk pemain muda mencapai impian mereka untuk menjadi pemain bola sepak."