Borussia Dortmund mengesahkan bahawa Lucien Favre telah dipecat daripada jawatan ketua jurulatih pasukan itu susulan kekalahan 1-5 kepada Stuttgart malam kelmarin.

Kelab Bundesliga itu mengumumkan keputusan itu 24 jam selepas kekalahan memalukan mereka di laman sendiri yang turut meletakkan mereka di luar daripada kelompok empat teratas.

Favre melabelkan kekalahan itu sebagai "satu bencana" dalam sidang media selepas perlawanan susulan pasukannya tewas tiga perlawanan liga berturut-turut di Signal Iduna Park

Edin Terzic akan mengambil alih peranan itu sehingga penghujung musim ini -- bermula dengan kunjungan ke laman Werder Bremen esok -- ketika Dortmund sedang menjadi seorang ketua jurulatih tetap.

Pengerusi Lembaga Pengurusan Dormund, Hans-Joachim Watzke, berkata dalam satu kenyataan: "Kami berterima kasih kepada Lucien Favre di atas khidmat terbaiknya sepanjang dua setengah tahun ini, di mana dia membawa pasukan ini sebagai naib juara sebanyak dua kali.

"Sebagai seorang profesional dan individu, Lucian Favre melangkaui sebarang keraguan."

Favre dilantik pada Mei 2018 dengan bekas pengendali Hertha Berlin dan Borussia Monchengladbach itu kembali ke Jerman selepas satu musim bersama kelab Perancis, Nice.

Jurulatih berbangsa Switzerland itu, yang pada awalnya menandatangani kontrak dua tahun sebelum memanjangkannya untuk 12 bulan lagi pada Jun 2019, merekodkan permulaan cemerlang apabila melalui 15 perlawanan liga tanpa kekalahan pada awal musim 2018-19.

Bagaimanapun, Dortmund kemudian menamatkan musim itu tanpa gelaran apabila kekurangan dua mata di belakang juara, Bayern Munich, pada penghujung musim. Situasi sama berulang pada musim berikutnya tetapi jurang di antara dua pasukan itu semakin lebar.

Terdapat harapan baru untuk skuad BVB itu menamatkan dominasi Bayern dalam saingan domestik apabila memulakan kempen kali ini dengan enam kemenangan daripada lapan perlawanan pertama tetapi keputusan itu semakin lama semakin merosot.

Favre memastikan pasukan itu layak ke pusingan 16 Liga Juara-Juara Eropah (UCL) tetapi kekalahan memalukan kepada Stuttgart itu terbukti menjadi perlawanan terakhirnya bersama Dortmund.