Pemain berdarah campuran Malaysia-Belgium, Dion Cools, mengecap kejayaan segera di Denmark apabila menjadi sebahagian daripada skuad FC Midtjylland yang menjulang kejuaraan Superliga awal pagi tadi.

Dengan hanya memerlukan keputusan seri ketika berdepan juara bertahan, FC Copenagen, yang menduduki tangga kedua liga, skuad The Wolves itu menamatkan perlawanan di MHC Arena dengan kemenangan 3-1, sekali gus sah bergelar juara meskipun masih berbaki lima perlawanan.

Ia merupakan kejuaraan ketiga pasukan itu dalam tempoh enam tahun ini.


Cools, yang prestasinya musim ini terganggu gara-gara kecederaan dan pandemik COVID-19, berada di bangku pemain simpanan tetapi tidak diturunkan dalam perlawanan itu .

Pemain pertahanan sayap itu menyertai Midtjylland, Januari lalu selepas kurang mendapat tempat di bekas kelabnya, FC Brugge.

Dalam satu temu bual besama Astro Arena, pemain kelahiran Kuching, Sarawak itu menjelaskan bahawa dia berminat untuk mewakili Malaysia tetapi masih belum menerima sebarang tawaran rasmi daripada Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM).



*Kredit foto: FC Midtjylland/Facebook