Lucas Digne menafikan dia sedang dalam perjalanan keluar dari Camp Nou menjelang musim 2017-18.

Pemain antarabangsa Perancis itu menyertai Barcelona daripada Paris Saint-Germain (PSG), Julai tahun lalu sebelum membuat 26 penampilan dalam musim pertamanya.

Timbul laporan bahawa pemain berusia 23 tahun itu tidak gembira dengan situasinya bersama gergasi Catalan itu, namun Digne menegaskan khabar angin tersebut tidak berasas.

"Saya ada mendengar khabar angin bahawa saya akan berhijrah tetapi berita itu tidak benar," Digne bercakap kepada Mundo Deportivo.

"Saya akan kekal bersama Barcelona. Sasaran utama saya adalah untuk beraksi bersama kelab ini untuk beberapa tahun akan datang.

"Saya menantikan permulaan musim baru. Saya mahu terus merebut tempat dan cuba melakar nama di sini. Saya mahu menjadi sebahagian daripada masa depan kelab ini."

Kontrak pemain bek kiri itu akan berakhir pada Jun 2021.