Cristiano Ronaldo positif COVID-19, terlepas bertemu Barcelona

By Shaiful Shamsudin 14 October 2020 542
Cristiano Ronaldo positif COVID-19, terlepas bertemu Barcelona
Cristiano Ronaldo positif COVID-19, demikian disahkan Persekutuan Bolasepak Portugal (FPF).

Bintang Juventus itu tidak menunjukkan gejala dan "dalam keadaan baik", kata persekutuan terbabit dalam satu kenyataan sebentar tadi. 

Pemain berusia 35 tahun itu telah meninggalkan kem pasukan kebangsaan untuk memulakan proses kuarantin.

Kesemua anggota skuad Fernando Santos yang lain itu, bagaimanapun, bebas untuk berdepan Sweden bagi perlawanan Liga Negara-Negara Eropah (UNL), awal pagi esok. 

Ketua pasukan Portugal itu turun ketika berdepan Sepanyol dan Perancis minggu lalu dan dijangka terlibat menentang Sweden.

Dia dijangka bakal terlepas sekurang-kurangnya tiga perlawanan berikutnya bersama Juve ekoran program kuarantin yang perlu dijalaninya. 

 
Pasukan kendalian Andrea Pirlo itu dijadual bertemu Crotone dalam perlawanan Serie A, awal pagi Sabtu ini, sebelum memulakan kempen Liga Juara-Juara (UCL) menentang Dynamo Kiev, pertengahan minggu depan. 

Mereka bakal menjadi tuan rumah kepada Hellas Verona, lima hari kemudian sebelum menyambut kunjungan Lionel Messi dan Barcelona di Turin pada 28 Oktober depan.

Ronaldo memulakan musim 2020-21 dalam prestasi baik dengan menjaringkan tiga gol dalam dua penampilan liga pertamanya musim ini.

About Author

Shaiful Shamsudin

Comment