Pertahanan sayap Inter Milan, Ashley Young, memberikan saranan untuk kekal selamat ketika pandemik Covid-19, termasuk melayan orang yang tidak dikenali seperti mereka pembawa virus itu.

Wabak berkenaan mendatangkan kesan yang besar di serata dunia dengan lebih daripada 18,600 kematian direkodkan selain sekurang-kurangnya 418,270 orang dijangkiti.

Covid-19 turut merencatkan segala aktiviti sukan di dunia dengan Serie A antara liga profesional yang terpaksa digantung

Itali -- secara spesifiknya di daerah Lombardy di Milan -- merupakan kawasan yang paling terjejas teruk dengan hampir 7,000 kematian dan lebih daripada 69,100 kes positif.

Bekas bintang Manchester United, Young, yang meninggalkan Old Trafford untuk menyertai Inter pada awal tahun ini, berkongsi saranannya dari Milan, yang merupakan salah satu kawasan yang sedang melalui perintah berkurung.

"Hai semua, saya hanya mahu berkongsi pendapat saya yang sedang tinggal di Itali, pusat penyakit ini," kata pemain berusia 34 tahun berbangsa England itu dalam Twitter.

"Secara realistik, pasar raya merupakan risiko utama penyebaran virus.

"Bercakap dengan keluarga dan rakan-rakan di rumah, cara mereka mendapatkan bekalan makanan amat gila.

"Ingatlah, perintah berkurung adalah perintah berkurung!

"Apa yang mengejutkan, berkunjung ke pasar raya di Itali amat tenang.

"Tiada perebutan makanan, tiada rak yang kosong dan yang paling penting, tiada kakitangan yang dicederakan kerana bekalan makanan yang berkurangan.

"Kebiasannya, hanya seorang akan keluar membeli barangan untuk seluruh isi rumah."Sila baca perkara berikut ini dan kongsikannya ini jika anda belum melakukannya, sudah tiba masanya untuk kita melakukan sedikit usaha bagi membantu menangani krisis global yang mengerikan ini!

"Beratur untuk ke pasar raya adalah standard tetapi bukan untuk pembelian menimbun atau ketamakan.

"Pasaraya telah membataskan jumlah orang yang masuk sehingga tidak terlalu sibuk!

"Jadi tunggu dan bersabarlah untuk masuk jika pasar raya anda melakukan ini.

"Sekiranya anda perlu masuk ke dalam lif, hanya masuk dengan satu lagi orang, dua orang dalam setiap lif dan berdiri di sisi yang bertentangan dengan menghadap dinding - jangan bernafas ke arah orang asing.

"Sentiasa menggunakan sarung tangan dari saat anda keluar kereta!

"Anda tidak mahu menyentuh troli yang pernah dipegang orang lain.

"Gunakan sarung tangan sehingga anda kembali ke dalam kereta.

"Gunakan topeng muka atau selendang untuk memastikan hidung dan mulut ditutup.

"Sentiasa jaga jarak anda di sana. Letakkan troli di belakang anda apabila anda mencari barang kerana ia menghalang orang ramai daripada menjadi terlalu dekat.

"Ini mungkin terdengar kasar tetapi anda perlu melayani orang lain yang bukan keluarga anda seperti mereka mempunyai virus itu, kerana anda tidak tahu!!!.

"Apa yang paling penting, jagalah diri!

"Itulah yang kami lakukan di sini. Ia bukan sesuatu yang berlebih-lebihan. Ia demi keselamatan," katanya.