Lionel Messi menerima ucapan terima kasih daripada pihak hospital di Barcelona selepas memberikan sumbangan bagi memerangi pandemik Covid-19.

Wabak itu, yang telah merekodkan lebih daripada 418,000 kes positif, mencetuskan kebimbangan global dan mengakibatkan aktiviti sukan di seluruh dunia terjejas.

Dengan kebanyakan acara sukan tidak dapat diteruskan, kebanyakan kelab dan liga mengambil langkah berjaga-jaga dalam menguruskan perbelanjaan mereka, termasuk mengurangkan tenaga kerja dan pemotongan gaji.

Tetapi beberapa individu berprofil tinggi sanggup mengorbankan wang mereka untuk membantu memerangi wabak berkenaan dengan pengurus Manchester City, Pep Guardiola, dilaporkan telah menyumbangkan wang sebanyak €1 juta (RM4.77 juta) kepada Yayasan Angel Soler Daniel.

Messi -- yang merupakan pemenang enam kali Augerah Ballon d'Or -- turut memberikan sumbangannya kepada Hospital Clinic di Barcelona.

Dalam satu ciapan Twitter, klinik itu berkata: "Leo Messi memberikan sumbangan bagi memerangi Covid-19 di klinik ini.

"Terima kasih banyak Leo kerana sokongan dan komitmen anda."

Sepanyol merupakan negara Eropah ketiga paling terjejas dengan hampir 40,000 orang dijangkiti virus berkenaan, termasuk 2,800 kematian.