Luis Suarez dikesan positif COVID-19 sekali gus terlepas pertemuan LaLiga di antara Atletico Madrid dengan bekas kelabnya, Barcelona.

Pemain berusia 33 tahun itu juga tersisih untuk memperkuatkan Uruguay bagi perlawanan kelayakan Piala Dunia 2022 bertemu Brazil, pagi esok selepas dipercayai dijangkiti ketika bertandang ke tempat lawan bersama pasukan kebangsaannya.

Uruguay mengesahkan dalam satu kenyataan hari ini bahawa Suarez dan rakan sepasukannya, Rodrigo Munoz, serta seorang lagi kakitangan, Matias Faral, akan mematuhi protokol COVID-19.

Berita itu muncul lima hari sebelum Suarez dijadualkan berdepan Barcelona, ​​kelab yang melepaskannya dengan bayaran rendah pada September lalu selepas enam tahun dia membintangi Camp Nou.

Penggempur berbisa itu telah sembilan kali membarisi Atletico dengan menyumbang lima gol dalam enam perlawanan LaLiga. Hanya Mikel Oyarzabal daripada Real Sociedad mencetak lebih banyak gol daripadanya tetapi telah beraksi tiga perlawanan lebih banyak.



Bercakap dengan Marca minggu ini, Suarez mengulangi kekecewaannya kerana disingkirkan Barcelona dalam jendela perpindahan lalu.

"Saya sedih dan terluka dengan cara saya pergi -- saya sudah mengatakannya," katanya.

"Tetapi ketika mereka menutup pintu, lima lagi pintu terbuka oleh mereka yang menghargai pekerjaan, profesionalisme dan kemampuan saya. Saya berasa bangga.

"Tatkala Barca tidak menginginkan saya, ada pasukan lain yang mendambakan saya. Saya menemui kebahagiaan dan saya menikmati saat ini."