Bersediakah kita sekiranya liga musim ini dibatalkan?

Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) akan mengumumkan hala tuju perjalanan Liga Malaysia 2020 pada minggu depan.

Ia selepas seluruh aktiviti bola sepak negara digantung sejak bulan lalu susulan pandemik Covid-19.

Bagaimanapun, keputusan itu akan dibuat berdasarkan situasi semasa dan mendapat nasihat daripada Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Seandainya keadaan semakin buruk, FAM tidak menolak kemungkinan liga musim ini dibatalkan dan akan bermula semula pada tahun depan.

Dalam satu wawancara video bersama wartawan Nadi Arena, Bazly Azmi, Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin, berkata: "Kita perlu lihat pada awal akta PKP (perintah kawalan pergerakan) ini diadakan, kami telah membuat keputusan bersama rakan kongsi kami dan selepas berbincang dengan Majlis Sukan Negara (MSN) dan KKM, kami membuat keputusan bahawa liga -- bukan hanya Liga Super dan Liga Perdana tetapi termasuk Piala Presiden, Piala Belia dan Liga Futsal Malaysia -- dihentikan.

"Kami telah mengeluarkan tiga surat pemberitahuan mengenai isu Covid-19 yang melibatkan liga.

"Saya kira kesemua ahli gabungan dan kelab telah memahami bahawa Rabu depan merupakan tarikh akhir untuk berbincang mengenai isu pemotongan gaji pemain.

"Saya memang ada pegawai daripada FAM dan MFL (Liga Bolasepak Malaysia) yang akan memantau bersama dengan pihak Kementerian Belia dan Sukan (KBS), KKM mahupun MKN.

"Dan saya perlu jelaskan di sini bahawa kami memantau perkembangan ini setiap hari dan pada minggu depan, Insya-Allah, FAM dan MFL akan mengeluarkan satu hala tuju selepas mengadakan perbincangan dengan Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) dan Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) mengenai saranan dan hala tuju yang diberikan oleh FIFA buat kesemua persatuan yang bernaung di bawahnya minggu lalu.

"Kami juga prihatin dengan kenyataan KKM minggu lalu, yang melarang aktiviti sukan bagi tempoh enam bulan sehingga setahun.

"Melihat kepada perkara ini, hampir pasti tiada perlawanan bersama penyokong sepanjang tahun ini," katanya.

Mengulas lanjut mengenai kelangsungan liga musim ini, Hamidin menambah: "Kami melihat kepada saranan dan hala tuju yang dikeluarkan FIFA untuk memutuskan kelangsungan liga.

"Kami hanya perlu mengemaskan beberapa perkara lagi dan akan mengumumkannya pada minggu depan, jadi saya tidak boleh mendedahkannya pada ketika ini.

"Mungkin ada dua atau tiga pilihan dan sudah pasti pilihan terakhir adalah membatalkan liga tahun ini.

"Sebagai presiden FAM, Kepentingan kesihatan nombor satu dan bola sepak pada ketika ini di nombor dua," tambahnya.

Jika liga musim ini dibatalkan, sudah pasti ia akan menjejaskan kontrak pemain dan pegawai sesebuah pasukan.

Ia juga akan memberikan tekanan buat sesebuah pasukan untuk membayar pampasan buat pemain dan pegawai mereka.

Ketua jurulatih Selangor, B. Sathianathan, masih berharap liga musim ini dapat diteruskan.

Bagaimanapun, dia berasakan jika perlawanan diadakan secara tertutup, ia mungkin penyelesaian yang lebih baik kerana pendapatan sesebuah pasukan dapat diraih menerusi penajaan.

"Saya harap liga tahun ini tidak dibatalkan kerana industri bola sepak bukan hanya melibatkan pemain dan pegawai, malah secara keseluruhan, ramai yang terlibat.

"Kita perlu berjaga-jaga. Apa pendapatan terbesar sesebuah pasukan?

"Ia adalah penajaan. Terdapat beberapa jenis penajaan. Ia tidak hanya bergantung kepada penjualan tiket ke stadium," katanya.