Badan induk bola sepak Amerika Selatan (CONMEBOL) mengesahkan saingan Copa America 2020 telah ditangguhkan sehingga tahun depan.

Argentina dan Colombia merupakan tuan rumah untuk saingan tahun ini tetapi badan bola sepak Amerika Selatan itu memilih untuk menangguhkannya selama 12 bulan susulan wabak COVID-19.

Tarikh baru bagi Copa America 2021 adalah 11 jun sehingga 11 Julai depan.

Situasi itu bermakna CONMEBOL mengambil langkah sama seperti UEFA semalamm yang menangguhkan Euro 2020 sehingga tahun depan.

"Selepas kenal pasti terperinci mengenai situasi yang dihadapi seluruh dunia akibat COVID-19 serta beberapa cadangan yang dikemukakan oleh badan antarabangsa sebagai langkah berjaga-jaga, CONMEBOL mengumumkan penangguhan saingan Copa America ke-47 kepada tarikh 11 Jun 2021.

Pihak konfederasi bersama presiden, Alejandro Dominguez, serta 10 lagi presiden daripada 10 persatuan berbeza, berpendapat acara itu patut menjadi tumpuan utama oleh pihak organisasi dan keutamaan hari ini adalah menjaga kesihatan serta kebajikan skuad kebangsaan, peminat, media dan penganjur."

Dalam masa sama, Dominguez menambah: "Ia adalah situasi yang tidak dijangka tetapi langkah utama perlu dilakukan untuk memastikan wabak itu tidak merebak memandangkan ia telah pun berada di dalam semua negara yang terlibat."

"Kami harus sentiasa menjaga keadaan kesihatan semua atlet serta sesiapa yang terlibat dalam keluarga bola sepak Amerika Selatan. Semestinya kejohanan paling tua di dunia akan kembali pada 2021, lebih bersedia dan seluruh dunia akan digegarkan dengan keinginan yang tinggi yang sentiasa menjadi perwatakan kami."