Penjaga gol Real Madrid, Thibaut Courtois, mengintai kejuaraan LaLiga apabila saingan kembali disambung.

LaLiga ditangguhkan sejak Mac lalu ekoran wabak coronavirus tatkala Barcelona memiliki kelebihan dua mata berbanding Real ketika saingan dihentikan.

Memandangkan saingan tampak akan disambung pada pertengahan bulan depan, Courtois berkata dia teruja untuk memenangi LaLiga.

"Semua orang tidak sabar untuk menyambung saingan LaLiga dan berjuang untuk memenanginya," katanya.

Courtois juga berkata dia berbesar hati dapat kembali menjalani latihan serta berdepan dengan percubaan daripada rakan sepasukan.

"Kami tidak sabar untuk kembali menjalani latihan selepas dua bulan, bersatu sebagai satu pasukan. Walaupun ia sedikit berbeza, tentunya bagus untuk kembali ke Valdebebas," tambahnya.

"Latihan di rumah agak berbeza tetapi saya fikir semua orang melakukannya dengan baik. Semua orang menjalankan tanggungjawab seperti diberikan jurulatih. Semua orang kekal cergas dan kuat."

Dia menambah: "Penjaga gol bernasib baik kerana kami dibenarkan berlatih dengan jurulatih penjaga gol, minggu lalu.

"Minggu ini, dalam kelompok kecil, rakan sepasukan boleh membuat percubaan kepada kami, jadi sekurang-kurangnya anda akan dapat rasakan sesi sebenar."