Andrea Pirlo menegaskan bahawa Juventus telah melupakan kekalahan terakhir mereka kepada Inter Milan menjelang pertemuan separuh akhir Coppa Italia di antara kedua-dua pasukan gergasi Serie A itu.

Juve mengesahkan kelayakan mereka selepas menewaskan SPAL 4-0 dalam perlawanan suku akhir Stadium Allianz awal pagi tadi.

Mereka akan berdepan Inter dalam dua perlawanan separuh akhir secara timbal balik, kurang dua minggu selepas tewas kepada skuad Nerazzurri itu dalam Serie A.

Tetapi Pirlo berkata Juve -- yang mara ke separuh akhir Coppa buat kali kelapan sepanjang 10 musim lalu -- sudah melupakan kekalahan itu.

"Kami sudah melupakan perlawanan di Milan (berdepan Inter) kerana ia merupakan perlawanan liga," kata ketua jurulatih Juve itu dalam sidang media.

"Minggu depan kami akan beraksi dalam separuh akhir Coppa, jadi kami akan berdepan mereka untuk ke final. Dua perlawanan ini amat berbeza.

"Kami perlu melupakan perlawanan Ahad lalu tetapi kami perlu bersedia dengan baik bagi perlawanan separuh akhir," katanya.

Alvaro Morata, Gianluca Frabotta, Dejan Kulusevski dan Federico Chiesa muncul penjaring ketika Juve menewaskan SPAL.

Sebelum berdepan Inter dalam aksi separuh akhir itu 3 Februari ini, Juve terlebih dahulu akan bertandang ke laman Sampdoria hujung minggu ini.