Antoine Griezmann menganggap kejayaan Barcelona adalah amat mustahak buat pengurus, Ronald Koeman, ketika Barca akan menghadapi Granada dalam suku akhir Copa del Rey, awal pagi esok.

Mereka menjadi pasukan pilihan untuk memenangi kejohanan itu selepas Atletico Madrid dan Real Madrid tersingkir daripada kelab liga bawahan.

Penggempur Perancis itu menyumbangkan dua gol dan mencipta satu lagi jaringan ketika Barca menang 4-0 di Los Carmenes dalam LaLiga, bulan lalu.

Menjelang pertemuan suku akhir piala itu, Koeman memuji pemenang Piala Dunia tersebut yang mula menemui prestasi sebenarnya.

Dia telah meledak lima gol dalam tujuh perlawanan terakhirnya, termasuk ketika muncul wira dalam kejayaan 2-1 tuan rumah ke atas Athletic Bilbao, kelmarin.

"Antoine berjalan lancar sepanjang musim ini," kata dalam sidang akhbar sebelum perlawanan semalam.

"Dia telah melakukan apa yang harus dilakukan oleh seorang pemain iaitu membantu pasukan secara maksimum.

"Antoine melalui saat-saat mampu mencetak gol dan tidak tetapi itu adalah fasa yang pasti akan dilalui oleh mana-mana pemain bola sepak sekalipun, kami semua telah mengalaminya.

"Dia amat berkesan ketika ini dan ia penting bagi saya. Kami ingin memanfaatkan sepenuhnya setiap pemain dalam skuad ini."





Griezmann merekodkan tujuh gol dalam enam perlawanan terakhirnya di Los Carmenes dan sebelum bintangnya mula menyinar akhir-akhir ini, dia sekadar menjaringkan tiga gol dalam 16 penampilan awal LaLiga musim ini.

Barca mencatatkan lima rentetan kemenangan LaLiga, empat daripadanya hadir tanpa bolos. Ini adalah pencapaian terbaik mereka di bawah Koeman yang sudah pasti mengharapkan mereka menjelmakan prestasi demi mendakap piala.

"Ini adalah satu perlawanan yang berbeza kerana ia adalah pertandingan merebut piala dan selalunya berlainan dengan aksi liga," kata bekas pengurus Belanda itu.

"Saya juga sependapat dengan Granada dan kami telah mengharungi banyak perlawanan -- bahkan mereka terbabit dalam lebih banyak perlawanan lagi.

"Jangan lupa bahawa dalam awal perlawanan sebelum ini, kami berdepan beberapa komplikasi dalam mengetengahkan corak permainan sendiri, Kami menjangkakan satu perlawanan sukar di mana kami harus memberikan tumpuan penuh."