Pengurus Inter, Antonio Conte, tidak akan dapat bertahan sepanjang musim sebagai pengurus Real Madrid, menurut tonggak Atletico Madrid, Diego Costa.

Conte dan Costa saling bekerjasama ketika di kelab gergasi Liga Perdana Inggeris (EPL), Chelsea, sebelum penggempur itu meninggalkan Stamford Bridge untuk kembali pangkuan Atletico akibat perbalahannya dengan bekas pengurus Itali berkenaan pada akhir musim 2016-17.

Conte turut angkat kaki 12 bulan kemudian -- bekas pengendali Juventus itu mengambil alih kerusi panas di Inter pada awal musim ini setelah setahun berehat.




Ditanya mengenai Conte, penyerang itu memberitahu ESPN Brazil: "Kami menghadapi masalah di luar lapangan tetapi saya fikir dia adalah pengurus yang sangat bagus.

"Saya tidak menyimpan dendam terhadap Conte tetapi untuk menjadi pengurus berkelas dunia, dia perlu lebih menerapkan soal kemanusian dalam pengurusannya. Dia seorang yang sangat curiga. Kalau di Real Madrid, dia tidak akan dapat bertahan semusim pun."

Costa dilahirkan di Brazil dan sempat membuat dua penampilan bersama skuad Selecao sebelum memilih untuk mewakili Sepanyol pada 2013.

Pemain berusia 31 tahun itu telah membuat 24 penampilan bersama Sepanyol dengan mewakili La Roja dalam Piala Dunia 2018 di Russia.

"Setelah perlawanan persahabatan menentang Russia, dia (bekas pengurus Brazil, Luiz Felipe Scolari) berjanji akan menyenaraikan saya lagi memandangkan saya jarang diberi peluang beraksi," kata Costa berhubung keputusannya untuk mewakili negara berbeza.

"Saya rasa hanya itu yang bermain di dalam fikiran.

"Saya masih ingat lagi apabila beberapa penyerang tercedera, namun Scolari tetap tidak memilih saya. Saya berdiam diri tetapi masih tidak terpilih untuk Piala Konfederasi. Kemudian, tawaran Sepanyol muncul dan saya menerimanya.

"Bagaimana saya boleh mengatakan tidak? Tiba-tiba sahaja, mereka mula memperkatakan bahawa Scolari menginginkan saya. Padahal sebelum itu tidak pernah sekalipun dia menyenaraikan saya. Bagaimana mungkin dia mahukan saya? Saya kemudian terbaca laporan yang mengatakan saya telah merosakkan impian berjuta-juta orang Brazil.

"Mengapa tidak mengatakan bahawa dia tidak mahu mendapatkan saya? Ia pasti akan menjadikan hal ini lebih mudah."