Ketua jurulatih Inter Milan, Antonio Conte, enggan terbawa-bawa dengan peluang pasukannya dalam Serie A selepas menewaskan Atalanta 1-0 untuk kembali berkelebihan enam mata di tangga teratas.

Milan Skriniar menjaringkan gol daripada sepakan penjuru pada minit ke-54 untuk Inter memberikan respons terhadap kemenangan dua seteru mereka, AC Milan dan Juventus.

Pasukan di tangga kelima, Atalanta, yang merupakan pasukan dengan jaringan mata kedua tertinggi di belakang Inter musim ini, kerap memberikan ancaman tetapi Nerazzurri beraksi cukup bagus untuk merekodkan kemenangan ketujuh berturut-turut, sekali gus menimbulkan tanggapan bahawa mereka sudah sebelah tangan untuk menjulang Scudetto berbaki 12 perlawanan.

"Jika saya melihat di dalam saku saya, saya hanya menemui €40," kata Conte dengan hilai ketawa ketika ditanya sama ada sudah ada sebahagian Scudetto dalam sakunya.

"Saya mahu mengisi petrol dan saya hanya tinggal €40.

"Maksudnya, kami perlu meneruskannya. Masih terdapat dua perlawanan sebelum waktu rehat, menentang Torino yang berada dalam kelompok separuh terbawah liga dan satu lagi adalah Sossuolo, yang sentiasa memberi masalah buat kesemua pasukan.

"Kami perlu meneruskannya seperti biasa. Esok pemain kami akan berehat, kami akan memulihkan tenaga dan kembali bersedia," katanya.

Bekas pengurus Chelsea itu menambah: "Kami kembali berkelebihan enam mata. Kami bermain sedikit lewat selepas seteru setempat kami menewaskan Verona dan Juve meraih kemenangan ke atas Lazio dan mereka semakin menghampiri kami, dan tidak dapat dinafikan bahawa tekanan itu akan terus meningkat sehingga ke akhirnya.

"Sudah pasti banyak tekanan tetapi kami berharap dapat terus meningkat daripada sekarang sehingga ke penghujung.

"Amat penting juga untuk berkata bahawa Atalanta adalah pasukan yang kuat dan kerap mencuri mata daripada pasukan besar lain," katanya lagi.

Inter akan meneruskan aksi Serie A dengan menentang Torino hujung minggu ini.