Pengendali skuad Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe, tidak akan mencari pengganti kepada Syahmi Safari selepas pertahanan kanan Selangor itu terpaksa digugurkan ekoran kecederaan.

Biarpun kecewa, Cheng Hoe tetap optimis terhadap kemampuan 25 pemain lain yang akan melengkapkan skuad kendaliannya menjelang pertemuan dengan Timor Leste dalam perlawanan 'play-off'' pertama kelayakan Piala Dunia Qatar 2022 di Stadium Nasional, Bukit Jalil, 7 Jun ini.

Syahmi mengalami kecederaan buku lali ketika perlawanan Liga Super di antara Selangor dan PKNP FC, 18 Mei lalu dan memerlukan waktu rehat sekurang-kurangnya tiga minggu.

"Buat masa ini, saya berasakan penggantinya ada dalam kalangan 25 pemain lain.

"Kami mempunyai dua atau tiga pemain yang boleh beraksi di posisi bek kanan.

"Jadi, saya tidak risau dan kami mungkin tidak akan memanggil pemain lain," katanya.

Dalam pada itu, skuad negara akan menghadapi perlawanan persahabatan dengan Nepal, Ahad ini sebelum Cheng Hoe memuktamadkan senarai 23 pemain terbaik.

"Saya nak tegaskan di sini bahawa kita perlu fokus terhadap perlawanan 'play-off''.

"Aksi menentang Nepal juga cukup penting.

"Walaupun dalam keadaan berpuasa, saya dapat lihat pemain begitu komited dalam sesi latihan," tambahnya.