Meskipun tidak dapat melepaskan gian turun ke padang, pengendali Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe, tetap lega dengan penangguhan aksi kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 pada Oktober dan November depan kepada 2021.

Bekas pengendali Kedah itu mengakui keputusan Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) dan Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) berkenaan memberi ruang buat dirinya membentuk skuad yang lebih mantap.

"Penundaan ini satu langkah positif kerana pasukan kebangsaan tidak mengharungi sebarang perlawanan sebagai persiapan, lagipun liga baru akan bermula semula bulan ini dan pemain berkemungkinan akan melalui jadual yang agak padat.

"Pasukan kebangsaan memerlukan persiapan yang panjang untuk mendapatkan momentum prestasi," katanya kepada wakil Nadi Arena, Zulhelmi Zainal Azam.

Cheng Hoe berpendapat penundaan itu juga bakal menyaksikan skuad Harimau Malaya sibuk sepanjang tahun depan.

"Kebiasaan perlawanan antarabangsa akan bermula pada Mac setiap tahun, kami juga akan melalui Piala AFF.

"Pemain perlu bersedia dalam aspek mental pada 2021 walaupun tahun ini tiada tugasan.

"Saya pasti pemain akan tanam impian untuk membawa pasukan negara ke tahap yang lebih baik," tambahnya.

Sementara itu, Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) belum memutuskan mengenai perancangan terbaru skuad kebangsaan dalam tempoh kalendar FIFA pada Oktober dan November depan.

Ini termasuk aksi persahabatan menentang Bahrain apabila Setiausaha Agung FAM, Stuart Ramaligam, mengakui perkara itu akan dibincangkan semula bersama barisan kejurulatihan.

"Disebabkan (pengumuman ini) kami baru dapat tiga jam lalu, jadi kami belum boleh sahkan ada pembatalan perlawanan.

"Kami perlu bincang perkara ini dengan lebih teliti.

"Kami akan bincang dengan semua pihak untuk memastikan kebaikan bola sepak Malaysia, pasukan-pasukan dan pemain diutamakan," katanya pula.