Ketua jurulatih skuad negara, Tan Cheng Hoe, mengubah perancangan asalnya apabila mengesahkan kem latihan secara kuarantin pertama skuad Harimau Malaysia itu akan dibarisi pemain utama.

Sebelum ini, Cheng Hoe merancang untuk hanya menyenaraikan Shahrul Saad dan Khairul Fahmi Che Mat untuk membimbing barisan pemain muda dalam kem latihan fasa pertama yang terpaksa ditunda berikutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Seiring dengan kebenaran untuk mengadakan kem latihan secara kuarantin, yang dijangka akan bermula pada 28 Januari ini, pengendali itu mengubah perancangan asalnya dengan bersedia untuk memanggil pemain utama bagi menjalani sesi latihan itu.

Selain Shahrul dan Khairul Fahmi, antara nama yang disebut untuk menyertai kem latihan itu adalah Aidil Zafuan Abdul Radzak, Nor Azam Azih, Brendan Gan dan Mukhairi Ajmal Mahadi.

"Kami akan mengkaji semula senarai tersebut kerana selain melihat pemain yang berpotensi, kami juga perlu melihat sama ada pemain tonggak masih berada dalam prestasi terbaik atau tidak.

"Kerana jika perlawanan pusingan kelayakan Piala Dunia berlangsung seperti yang dirancangkan pada Mac depan, kami tidak memiliki masa yang panjang untuk berlatih dan berkumpul," kata Cheng Hoe kepada Nadi Arena.

Tambah Cheng Hoe, dalam situasi yang tidak menentu ketika ini, dia perlu bijak dalam merencana persediaan skuad negara.

Sama ada perlawanan pusingan kelayakan Piala Dunia/Piala Asia akan bersambung pada Mac atau Jun depan, dia perlu memastikan anak buahnya benar-benar bersedia untuk menempuhi perlawanan itu.

"Jika kami berlatih di MSN (Majlis Sukan Negara), kami perlu mematuhi segala SOP (prosedur operasi standard) yang disarankan mereka dan saya harap pemain boleh berfikiran positif kerana setelah sekian lama, ini peluang terbaik untuk kami berkumpul dan pemain perlu berasa bertuah kerana mungkin sukan-sukan lain masih belum dapat berlatih," katanya lagi.