Casemiro tidak terkejut dengan hantaran luar biasa Karim Benzema ketika Real Madrid menundukkan Espanyol dalam perlawanan LaLiga di Stadium RCDE awal pagi tadi.

Benzema menghasilkan momen magis ketika membantu jaringan Casemiro yang melonjakkan Madrid ke puncak liga dengan kelebihan dua mata.

Bantuan jaringan yang ke-117 dihasilkan oleh penyerang itu sepanjang bersama Madrid, tercetus melalui kuisan tumit gemilang yang melintasi kaki pemain pertahanan, Bernardo Espinosa, untuk mudah ditolak masuk Casemiro.

Casemiro berkata dia sedar Benzema mempunyai keupayaan untuk melakukan hantaran sehebat itu sambil memberikan penghormatan buat pemain berusia 32 tahun berkenaan.

"Apa yang telah Karim lakukan itu, bagi saya adalah sesuatu yang normal.

"Kita semua tahu bahawa kualiti yang dimilikinya bukan sebagai pemain nombor 9 tetapi nombor 10.

"Saya mengenalinya, saya tahu bagaimana cara permainannya dan kualiti yang dipamerkannya.

"Saya meminta bola daripadanya kerana memiliki ruang dan kuisan tumit yang dilakukannya amat gemilang.

"Ia gol Karim. Ia adalah hantaran kuisan tumit daripada pemain nombor 10 dan anda perlu mengucapkan tahniah kepadanya," katanya.

Dengan hanya berbaki enam perlawanan musim ini, Madrid di landasan tepat untuk menjuarai LaLiga dengan kelebihan dua mata di depan seteru tradisi, Barcelona.

Casemiro bersedia untuk membantu Madrid memenangi gelaran LaLiga pertama sejak musim 2016-17.

"Masih banyak yang menanti tetapi kami sedar setiap perlawanan kini bagaikan final.

"Kami mahukan kejuaraan liga ini," tambahnya.

Madrid seterusnya akan berdepan Getafe di laman sendiri Khamis ini.