REAL MADRID 3 EIBAR 0

Karim Benzema adalah pemain tengah menyerang terbaik di Eropah, demikian kata rakan sepasukan Real Madrid, Marcelo.


Marcelo menjaringkan gol terakhir dalam kemenangan 3-0 Madrid ke atas Eibar di Santiago Bernabeu semalam, ketika pasukan Zinedine Zidane itu kembali lima mata di belakang pendahulu LaLiga, Barcelona.

Marco Asensio menyerlah pada separuh masa pertama sehingga menjadi pencetus kepada gol sendiri Paulo Oliveira sebelum dia meledak gol kedua Madrid 10 minit kemudian.

Benzema, yang masuk menggantikan Asensio selepas itu, memberikan bantuan cemerlang kepada gol Marcelo, dan pemain pertahanan Brazil itu lantas memberikan pujian terhadap pemain Perancis berkenaan, yang mendapat sokongan Zidane berikutan aksi buruk menentang Tottenham dalam Liga Juara-Juara.

"Karim (Benzema) adalah pemain bola sepak yang hebat. Kami mempunyai Cristiano (Ronaldo) yang menjaringkan begitu banyak gol dan Asensio yang juga menyerlah," kata Marcelo.

"Ia adalah perkara yang logik apabila semua mahu lebih banyak gol daripada Benzema dan penyerang, tetapi anda lihat hari ini apa yang dia tawarkan.

"Gerakan, hantaran dan kawalannya -- dia pemain nombor 9 terbaik di Eropah," katanya lagi.

Kemenangan itu membolehkan Madrid mengekalkan jarak dengan Barca, dan walaupun mereka tidak berada pada tahap terbaik, margin kemenangan diteruskan setelah Ronaldo memecahkan kebuntuan musim LaLiga ketika mengatasi Getafe.

Walaupun tanpa jaringan Ronaldo, Madrid memastikan kemenangan selesa dan Marcelo percaya pasukan Zidane semakin hampir untuk mendapatkan semula prestasi terbaik mereka.

"Kami berada dalam prestasi yang baik. Orang lupa yang sukar bermain di sini, menentang pasukan bertahan -- menentang pasukan yang baik," kata Marcelo.

"Untuk menang, anda perlukan kesabaran. Kami menjaringkan tiga gol tetapi apa yang dapat kami lakukan di sini adalah berusaha keras bersama dan sekarang kami kembali kepada lima mata berbanding pasukan teratas.

"Kami semua akan memberikan segala-galanya, pemain dari bangku simpanan atau dalam kesebelasan utama. Bukan satu pemain, semuanya bekerja bersama," tambahnya.