Karim Benzema mengekalkan rekod jaringan menariknya ke atas Valencia dan Toni Kroos juga menemui sasaran ketika Real Madrid mudah meraih kemenangan 2-0 dalam perlawanan LaLiga itu lewat malam tadi.

Penyerang Perancis, Benzema, menjaringkan gol kelimanya dalam pertembungan liga dua pasukan itu untuk membuka jaringkan di Estadio Alfredo Di Stefano sebelum Kroos menambah gol kedua sebelum waktu rehat.

Valencia menang 4-1 dalam pertemuan liga pertama di antara kedua-dua pasukan itu pada November lalu di mana Carlos Soler menjaringkan hatrik menerusi sepakan penalti tetapi kini, mereka gagal memberikan sebarang ancaman dalam perlawanan di ibu kota Sepanyol itu.

Jaringan Ferland Mendy dalam babak kedua di batalkan pengadil untuk Madrid, yang kehilangan Dani Carvajal gara-gara kecederaan, memperoleh tiga kemenangan liga berturut-turut dan kembali ke tangga kedua.

Valencia memburu rekod menewaskan Madrid dalam kedua-dua perlawanan liga buat kali pertama sejak musim 1967-68 tetapi mereka ketinggalan selepas Benzema meledak pada minit ke-12.

Kroos menghantar bola ke arah Benzema di sebelah kiri sebelum penyerang itu melakukan sepakan lencong dari jarak 20 ela ke penjuru kanan bawah gawang lawan.

Kehilangan Carvajal disebabkan kecederaan memberikan tamparan buat pasukan tuan rumah itu tetapi mereka tidak terlalu terkesan selepas Kroos merembat bola daripada penjuru kotak penalti untuk menjaringkan gol keduanya musim ini.

Valencia, yang kini gagal memenangi 13 pertemuan di laman Madrid, mengasak hebat bagi memburu jaringan penyamaan dan memaksa penjaga gol, Thibaut Courtois, melakukan aksi menyelamat gemilang bagi menafikan percubaan Maxi Gomez.

Mendy menemui jaringan selepas itu tetapi keraiannya hanya seketika apabila video bantuan pengadil (VAR) mengesan tumitnya berada di kedudukan ofsaid sebelum menerima hantaran Vinicius Junior.

Skuad kendalian Zinadine Zidane itu sekali lagi hampir menambah jaringan tetapi Jaume Domenech menafikan percubaan jarak dekat Benzema dan Mendy pula hilang keseimbangan ketika menerima bola pada lewat permainan.