Karim Benzema akan diadili dengan pertuduhan mencuba melakukan ugutan terhadap bekas rakan sepasukannya dalam skuad Perancis, Mathieu Valbuena, dengan menggunakan rakaman aksi ranjang.

Pihak pendakwa di Versailles mengesahkan perkembangan mengenai penyerang Real Madrid itu bersama empat yang lain semalam, berdasarkan laporan media di Perancis.

Benzema, yang menafikan sebarang salah laku berkenaan, dituduh pada 2015 berdasarkan dakwaan itu. Dia sebelum ini mengemukakan rayuan terhadap dakwaan berkenaan dan kini akan melalui proses pengadilan.

"Keputusan untuk mengadili kes ini tidak masuk akal dan tidak adil," kata peguamnya, Sylvain Cormier, kepada EFE. "Benzema tidak lakukan apa-apa untuk dipersalahkan."

Paul-Albert Iweins, penasihat kepada Valbuena, berkata kepada L'Equipe bahawa keputusan itu adalah "kesinambungan yang logik daripada arahan yang secara sempurna telah dilakukan oleh beberapa orang."

Sejak insiden itu, Benzema telah dipinggirkan daripada skuad kebangsaan Perancis.