Benevento, yang dikendalikan oleh Filippo Inzaghi, sah melayakkan diri ke Serie A musim depan meskipun masih berbaki tujuh perlawanan liga.

Bekas penyerang Cagliari, Marco Sau, masuk dari bangku pemain simpanan untuk menjaringkan gol tunggal, yang memberikan kemenangan 1-0 buat Benevento ke atas Juve Stabia, sekali gus mengesahkan kejuaraan Serie B.

Benevento, yang memenangi 23 daripada 31 perlawanan dan hanya tewas sekali musim ini, berkelebihan 24 mata berbanding dua pencabar terdekat, Crotone dan Cittadella.

Ascoli merupakan kelab terakhir yang sah dinaikkan ke liga divisyen utama dengan berbaki tujuh perlawanan tetapi ia dilakukan dalam musim 1977-78, di mana hanya dua mata diberikan bagi setiap kemenangan.

Benevento layak ke Serie A buat kali pertama dalam sejarah pada tiga tahun lalu tetapi mereka kembali disingkirkan hanya selepas semusim, di mana mereka tewas dalam 14 perlawanan.

Bekas ketua jurulatih AC Milan dan Bologna, Inzaghi, mengambil alih pasukan itu setahun yang lalu dan akan menyertai adiknya, yang merupakan jurulatih Lazio, Simone, dalam liga utama itu musim depan.