Bekas pengurus Liverpool, Paris Saint-Germain (PSG) dan Perancis, Gerard Houllier meninggal dunia pada usia 73 tahun.

Berita mengenai pemergian Houllier itu disahkan sehari selepas dia menjalani pembedahan jantung.

Houllier dikenali sebagai salah seorang jurulatih terbilang dalam bola sepak Perancis, di mana dia pernah mengendalikan Le Touquet, Noeux-les-Mines dan Lens pada awal karier kejurulatihannya.

Pada 1985, Houllier dilantik sebagai pengendali PSG dan membantu gergasi Paris itu menjuarai liga divisyen utama Perancis musim 1985-86.

Pada awalnya, dia dilantik sebagai pengarah teknikal dan penolong jurulatih skuad kebangsaan Perancis di bawah Michel Platini pada 1988 sebelum mengambil alih jawatan utama itu pada 1992 tetapi meletakkan jawatannya setahun selepas itu susulan kegagalan Perancis layak ke Piala Dunia Amerika Syarikat 1994.

Selepas mengemudi pasukan B-18 dan B-20 Perancis, Houllier kemudian dinamakan sebagai pengurus bersama Liverpool di samping Roy Evans.

Kerjasama itu, bagaimanapun, tidak berjalan lancar sehingga Evans meninggalkan jawatannya pada 1998 tetapi Houllier kemudian memenangi lima kejuaraan utama bersama The Reds -- termasuk 'treble' Piala FA, Piala EFL dan Piala UEFA musim 2000-2001.

Dalam musim berikutnya, dia membawa Liverpool menjadi naib juara Liga Perdana Inggeris (EPL) -- rekod terbaik mereka sejak penjenamaan semula liga divisyen utama England itu. Dalam kempen itu juga, Houllier dikejarkan ke Hospital selepas mengalami masalah jantung ketika perlawanan menentang Leeds United pada Oktober 2001.

Houllier meninggalkan Anfield pada penghujung musim 2003-04 dan memenangi dua gelaran Ligue 1 bersama Lyon sebelum kembali ke saingan EPL bersama Aston Villa.