GRANADA 3 BARCELONA 5
(Barca selepas masa tambahan)

Barcelona mengambil 'langkah panjang' menuju kejayaaan musim ini selepas bangkit membenam Granada, kata Ronald Koeman.


Skuad Catalan itu meraih kemenangan luar biasa 5-3 dalam suku akhir Copa del Rey, awal pagi tadi, selepas mengheret perlawanan di Estadio Nuevo Los Carmenes itu ke masa tambahan.

Barca ketinggalan 0-2 pada minit ke-87 sebelum jaringan Antoine Griezmann dan Jordi Alba melanjutkan perlawanan ke masa tambahan tatkala percubaan Francisco Trincao, Lionel Messi dan Ousmane Dembele sekadar menggegar tiang.

Griezmann menjadikannya kedudukan 3-2 sebelum sepakan penalti Fede Vico untuk sekali lagi menyamakan kedudukan, tetapi gol Frenkie de Jong daripada bola muntah disusuli rembatan voli menakjubkan daripada Alba memastikan tiket separuh akhir buat Barca.

Minggu lalu, pengurus itu menyifatkan pasukan asuhannya tersebut belum bersedia untuk bersaing merebut kejuaraan utama dan tetap tidak yakin mereka mampu menamatkan saingan 2020-21 dengan kejayaan LaLiga, Copa mahupun Liga Juara-Juara (UCL).

Namun, dia yakin aksi menentang skuad bimbingan Diego Martinez itu mungkin menjadi titik tolak dalam kempen mereka.





Dia berkata: "Saya merujuk kepada memenangi tiga trofi: LaLiga, UCL dan Copa. Saya tidak percaya (kami mampu memenangi ketiga-tiganya). Tetapi saya selalu percaya kepada keupayaan pasukan ini. Kami telah meningkatkan banyak perkara terutama daripada segi karakter. Kami terus memacu persembahan.

"Ia mampu membantu menyuntik semangat dan kekuatan dalaman pasukan. Itulah caranya. Kami telah bekerja keras untuk sampai ke tahap pasukan mula percaya (dengan kemampuan mereka) dan ini adalah perasaan yang membanggakan. Ia hadir pada saat penting musim ini.

"Kami memulakan perlawanan dengan garang, kami beraksi dengan sangat baik sepanjang 20 minit pertama. Kesilapan tidak sepatutnya menyebabkan kami dibolosi.

"Kami menonjolkan mentaliti berpasukan kerana kami tidak pernah menyerah. Kami bernasib buruk dinafikan tiang gol. Kami telah mencurahkan segala kudrat untuk memenangi perlawanan ini.

"Kami meraihnya melalui mentaliti pasukan tetapi dalam kesempatan ini, kami telah membuktikan bahawa kami juga tahu bagaimana untuk menderita. Kami tahu bagaimana mempertahankan kedudukan dan kami layak menang."



Griezmann membuktikan sentuhan berbisanya dengan mencetak gol pertama Barca sebelum menjadi arkitek kepada gol penyamaan Alba selepas menyambut hantaran silang daripada Messi.

Buat pertama kalinya pemain bernilai €120 juta (RM584.6j) itu terlibat secara langsung dalam keempat-empat gol dalam satu perlawanan bersama jaguh LaLiga berkenaan.

"Saya sangat gembira dengan Griezmann," kata Koeman.

"Saya tahu betapa pentingnya gol itu buatnya. Pasukan memerlukannya. Dengan kelibatnya, kami akan menjadi lebih berbahaya."