Ronald Koeman tidak percaya Bercelona merupakan pasukan yang lebih kuat daripada seteru LaLiga lain seperti Atletico Madrid, Real Madrid dan Sevilla sepanjang musim ini.

Barca -- yang berkelebihan satu perlawanan dalam tangan -- kini hanya dibezakan lima mata dengan pendahulu liga, Athletico Madrid selepas menewaskan Getafe 5-2 awal pagi tadi.

Lionel Messi menjaringkan dua gol dalam perlawanan penuh aksi di Camp Nou itu, di mana jaringan sendiri Clement Lenglet memadamkan gol pembukaan kapten Barca itu hanya berselang empat minit.

Pemain Getafe, Sofian Chakla, kemudian terjaring bola ke gawang sendiri pada minit ke-28 sebelum Messi melebarkan kelebihan Barca lima minit berselang.

Jaringan penalti Enes Unal selepas semakan video bantuan pengadil (VAR) memberikan Getafe sedikit harapan tetapi Ronald Araujo kemudian menanduk masuk bola daripada sepakan penjuru Messi dan Antoine Griezmann menyempurnakan sepakan penalti dalam waktu kecederaan.

Juara Copa del Rey, Barca, kini hanya kekurangan satu mata di belakang pasukan di tangga keempat, Sevilla, dan dua mata di belakang Madrid, dan ketua jurulatihnya, Koeman, berkata dalam sidang media selepas perlawanan itu: "Saya tidak fikir kami lebih kuat daripada tiga pasukan lain (Madrid, Atletico dan Sevilla).

"Mereka juga memenangi perlawanan dan kami pula akan berdepan bagi perlawanan yang sukar.

"Persaingan ini akan kekal sehinga ke hari terakhir," katanya.