Penolong jurulatih Barcelona, ​​Alfred Schreuder, menegaskan pasukannya masih memiliki kesempatan merangkul LaLiga walaupun terlepas peluang untuk memintas pendahulu, Atletico Madrid.

Kedua-dua pasukan seri 0-0 di Camp Nou malam tadi untuk Atleti dua mata menerajui puncak dengan baki tiga perlawanan musim ini.

Namun, Keputusan itu membuka laluan buat Real Madrid, yang memiliki kelebihan rekod pertemuan -- bermakna mereka mampu memimpin kancah Sepanyol itu dengan kemenangan ke atas Sevilla, awal pagi esok.

Schreuder, yang memikul tugas media pasca perlawanan gara-gara Ronald Koeman menjalani penggantungan dua perlawanan, yakin Barca masih mampu muncul juara.

Dia berkata: "Kami sedar bahawa kami perlu bergantung kepada keputusan perlawanan lain.

"Mari kita lihat apa yang akan berlaku di antara Madrid dengan Sevilla. Kami tahu bahawa nasib kami bergantung kepada orang lain tetapi masih berpeluang untuk memenangi LaLiga.

"Kami berada di tempat yang kami inginkan tiga bulan lalu."



Barcelona mendominasi permainan tetapi bergelut untuk menembusi benteng kebal Atletico.

Schreuder tidak terkejut dengan corak permainan anak buahnya tetapi percaya tuan rumah ada peluang untuk menyambar mata penuh termasuk tandukan Ousmane Dembele pada lewat permainan.

"Kami sedar ini akan menjadi perlawanan yang sangat sukar, tidak syak lagi," tambahnya.

"Kami mempunyai peluang menarik daripada Leo (Lionel Messi) dalam separuh masa pertama, satu lagi menerusi Dembele dalam babak kedua. Kami menguasai permainan. Kami tahu kekentalan Atletico bertahan.

"Jelas kami masih ada peluang untuk bersaing. Jadi kami harus fokus kepada perlawanan seterusnya.

"Kami mahu menang tetapi kami tersepit di kedudukan ini. Kami ketinggalan dua mata di belakang Atletico."

Schreuder juga menawarkan maklumat kecederaan Sergio Busquets yang terpaksa meninggalkan gelanggang selepas setengah jam permainan akibat hantukan di muka.

"Saya baru sahaja bercakap dengannya dan saya fikir dia baik-baik saja tetapi kami harus menunggu keputusan ujian hospital.

"Kami harus menyusun semula bahagian tengah. Selalunya dia menawarkan kami keyakinan dan kami agak tidak tersusun."