Penyerang Real Madrid, Gareth Bale, tidak faham mengapa dia dikritik hebat kerana bermain golf sambil menegaskan minatnya terhadap sukan itu telah menjadikannya seorang pemain bola sepak yang lebih baik.

Bale menjadi perhatian di Sepanyol kerana dianggap terlalu memikirkan golf dan tidak bermain dengan sepenuh hati untuk Madrid, di mana dia telah dilanda masalah kecederaan dalam beberapa tahun terakhir.

Pemain antarabangsa Wales itu diberi jolokan 'Golfer' oleh rakan sepasukannya di ibu kota Sepanyol itu selain turut mengundang kemarahan penyokong Madrid, November lalu dengan mengibarkan bendera yang tertera urutan perkataan "Wales. Golf. Madrid.".

Begitupun, pemain kidal itu mempertahankan tindakannya bermain golf dengan memberikan bintang Golden State Warriors, Stephen Curry, yang juga gemar bermain golf dan pernah beraksi Jelajah Korn Ferry sebagai contoh.

"Banyak orang tidak berpuas hati dengan saya kerana bermain golf, saya tidak tahu apa sebabnya," katanya dalam podcast Erik Anders Lang Show.

"Saya telah mendapatkan nasihat doktor dan semua orang tiada masalah mengenainya.

"Media memiliki persepsi bahawa ia tidak baik buat saya: 'Anda harus berehat kerana ia boleh menyebabkan masalah, cedera.' Di Amerika Syarikat (AS), Steph Curry juga bermain golf pada sebelah pagi hari perlawanan.

"Di sini, jika saya bermain dua hari sebelum perlawanan, ia akan mencetuskan tanggapan, 'Apakah yang dia sedang lakukan?'

"Saya hanya menggemarinya dengan memikirkan ada 18 lubang di depan saya. Saya dapat menjauhkan diri daripada bola sepak, perkara negatif yang sedang terjadi dan mengatur semula minda.

"Keesokan harinya, saya akan berasa lebih segar sedikit dan bersedia untuk beraksi selain dapat menumpukan perhatian serta berasa lebih baik mengenai bola sepak."



Bale kembali berlatih bersama Madrid dengan aksi LaLiga dijangka kembali 11 Jun depan, tiga bulan selepas saingan musim ini tertangguh kerana wabak novel koronavirus (Covid-19).

Walaupun hanya menyumbangkan dua gol dan dua bantuan jaringan dalam 14 penampilan liga, tongggak berusia 30 tahun itu masih berpuas hati dengan persembahannya musim ini.

"Perkara terpenting dalam bola sepak ketika ini, segalanya berkisarkan tentang keputusan. Itulah masalahnya," katanya.

"Anda mungkin beraksi dengan luar biasa, tidak mencetak jaringan dalam lima perlawanan lalu semua orang akan mula berkata, 'dia mengalami tempoh yang mengerikan.'

"Orang ramai sukakan gol, bantuan jaringan dan 'wau'. Kadangkala ia tidak berlaku. Apabila saya beraksi dengan hebat kemudian menjaringkan dua gol, semua orang akan berkata, 'permainan hebat.'

"Setiap orang boleh mempunyai pendapat mereka sendiri, selagi saya tahu saya telah mencuba yang terbaik dan beraksi dengan sebaik mungkin, maka saya gembira atas usaha itu."