Gareth Bale tidak akan tinggalkan Real Madrid selepas timbul spekulasi mengenai masa depannya bersama kelab itu, menurut ejen, Jonathan Barnett.

Bale kelihatan sudah diketepikan ketika Real mengatasi Barcelona untuk bergelar juara LaLiga musim ini, membua dua penampilan sejak musim 2019-20 bersambung bulan lalu berikutan penularan wabak koronavirus.

Penyerang itu, yang kerap kali dikritik atas perlakuannya, tampil 16 kali dalam saingan liga musim ini selepas diketepikan daripada skuad kendalian Zinedine Zidane berdepan Leganes untuk aksi terakhir musim Ahad ini.

Di sebalik bergelut untuk mendapatkan waktu bermain, Barnett menegaskan Bale tidak memiliki perancangan untuk meninggalkan Santiago Bernabeu.

"Bale masih memiliki dua tahun untuk kekal di Madrid. Dia gemar bersama pasukan dan tidak akan ke mana-mana.

"Dia masih lagi berkualiti seperti pemain-pemain lain. Segalanya bergantung kepada Zidane.

"Sememangnya terdapat tawaran tetapi sukar untuk kelab membayar gajinya ketika ini.

"Ia merupakan satu kehilangan jika tidak bersama pasukan Real tetapi dia tidak akan tinggalkan pasukan."



Bale menikmati karier yang cemerlang sejak berhijrah ke Real dari Tottenham pada 2013, menjaringkan lebih daripada 100 gol dan memenangi empat trofi Liga Juara-Juara (UCL) dan dua gelaran LaLiga.