Pengarah Sukan Schalke 04, Christian Heidel, mengesahkan pasukannya sedang melakukan rundingan untuk mendapatkan khidmat Baba Rahman dari Chelsea.

Pemain pertahanan kiri itu tidak melakukan sebarang penampilan buat skuad kendalian Antonio Conte musim ini dan selepas dipinjamkan ke Gelsenkirchen pada musim lalu. Dia kini dilaporkan akan kembali ke Jerman menerusi perpindahan tetap.

Proses rundingan telah dilakukan pada Ogos lalu tetapi terpaksa ditamatkan akibat kecederaan lutut serius yang dialami oleh Baba.

"Kini kami sedang berbincang dengan Chelsea untuk mendapatkan Baba Rahman.

"Masih ada beberapa perkara yang belum diselesaikan. Persetujuan dengan pemain akan dapat dimeterai dalam masa beberapa hari lagi," ujarnya.

Dalam masa sama, Heidel tidak dapat memastikan hala tuju karier pemain yang bakal menamatkan kontrak pada musim panas depan, Leon Goretzka, sebelum aksi menentang RB Leipzig, esok.

Walaupun pemain Jerman itu ditawarkan kontrak baru oleh pihak kelab, dia juga menjadi sasaran Bayern Munich.

"Saya tidak rasa sebarang pengumuman boleh dilakukan sebelum perlawanan bertemu Leipzig," tambahnya.