Siapa sangka seorang pemain tengah yang pernah mewakili pasukan gergasi seperti Selangor dan Pahang, kini lebih selesa mengusahakan perniagaan nasi lemak di ibu kota.

Pemenang Piala Malaysia 2013 dan 2014, Azidan Sarudin, memilih untuk mengusahakan perniagaan itu selepas mengakui kerjayanya sebagai pemain bola sepak terjejas dengan pandemik COVID-19.

"Ia bermula sewaktu pandemik COVID-19 ini, bulan Mac lalu merupakan perlawanan terakhir kami. Selepas itu, rakan kongsi saya sedar saya terkesan dengan COVID-19 ini dan mengajak saya untuk berniaga nasi lemak," katanya kepada wartawan Nadi Arena, Syakirah Zulkifly.

"Saya bersetuju kerana saya pandai memasak, jadi kami mencuba nasib untuk berniaga.

"Kami hanya mencuba nasib kerana tidak pernah berniaga dan Alhamdulillah, sambutannya amat baik. Daripada lima ekor (ayam), mula menjadi 10 (ekor) dan semakin banyak dan semua tempahan habis dijual," katanya.

Azidan mewakili pasukan Harini FC dalam Liga M3 musim ini dan saingan itu terpaksa ditamatkan pada Jun lalu berikutan pandemik berkenaan.

Bekas produk pasukan Piala Presiden Kuala Lumpur itu mengakui pembatalan liga berkenaan memberi kesan ekonomi terhadapnya.

"Apabila mereka kata Liga M3 ditutup, Allahuakbar, macam mana kami hendak memperoleh pendapatan? Kami hanya mengharapkan bola sepak sahaja.

"Saya agak terjejas daripada segi ekonomi. Semua pemain seperti itu, bukan saya seorang sahaja.

"Bagaimana kami mahu membayar rumah, kereta dan tanggungjawab lain?

"Tetapi Alhamdulillah, rezeki COVID-19 ini saya dapat berniaga dan membuka jalan untuk isteri dan anak-anak saya," katanya lagi.