Bekas pengurus Borussia Dortmund, Ottmar Hitzfeld, menyifatkan penyerang, Pierre-Emerick Aubameyang, adalah satu-satunya pemain di dalam pasukan yang tidak akan dapat digantikan dengan mana-mana pemain.

Penyerang berusia 28 tahun itu menamatkan saingan Bundesliga musim lepas selaku penjaring terbanyak selepas menjaringkan 31 gol.

Walaupun dikaitkan dengan penghijrahan ke pasukan lain, sehingga hari ini masih belum ada tawaran yang dapat diselesaikan sehingga hari ini, sama ada bersama kelab-kelab China, Chelsea ataupun AC Milan.

Hitzfeld, yang pernah mengemudi Dortmund selama enam tahun pada tahun 1991 sehingga 1997, menganggap pengendali Die Borussen, Peter Bosz, beruntung kerana masih mampu mengekalkan penyerang dari Gabon itu.

“Untuk Peter Bosz, Aubameyang boleh diibaratkan seperti syarikat insurans hayat,” katanya.

“Dia meliputi hampir 20 peratus daripada Dortmund, seorang penyerang yang hebat kerana mampu menjaringkan gol dari sudut yang sukar.

“Aubameyang adalah pemain paling penting dalam skuad BVB. Anda boleh menggantikan pemain lain tetapi bukan Aubameyang,” tambahnya.

Dortmund menamatkan saingan musim lalu di tangga ketiga liga, 18 mata di belakang juara, Bayern Munich, namun berjaya menjulang trofi DFB-Pokal 2016/17.