ARSENAL 1 OLYMPIACOS 2
(Olympiacos mara dengan agregat 2-2)

Pierre-Emerick Aubameyang terkejut terlepas peluang keemasan dalam detik-detik akhir kekalahan Arsenal kepada Olympiacos dalam kempen Liga Europa.


Aubameyang, yang sebelum itu mengimbangi kedudukan menerusi sepakan gunting, merembat liar ketika pintu gol sudah ternganga sejurus Youssef El-Arabi meletakkan Olympiacos 2-1 di hadapan pada minit ke-29 tambahan masa dalam pertembungan di Stadium Emirates, awal pagi tadi.


Peluang itu terbukti menjadi sentuhan terakhir perlawanan selepas Olympiacos -- yang membatalkan kelebihan 1-0 tuan rumah pada awal babak kedua -- mara menerusi peraturan gol di tempat lawan selepas terikat 2-2 secara agregat.

Justeru, dia yang menyamai rekod Jamie Vardy sebagai penjaring terbanyak Liga Perdana Inggeris (EPL) selepas dua golnya ke atas Everton hujung minggu lalu, kelu untuk mengulas kesilapannya itu.

"Saya tidak tahu, saya berasa sangat teruk," kata ketua pasukan dari Gabon tersebut kepada BT Sport ketika cuba menjelaskan kegagalannya itu. "Perkara ini boleh berlaku, saya tidak tahu bagaimana saya boleh terlepas peluang sebegitu.

"Saya keletihan dan menanggung kekejangan tetapi ia bukan merupakan satu alasan. Saya perlu menjaringkan gol itu tetapi perkara seperti ini boleh berlaku."

Tambahnya berikutan penyingkiran Arsenal dalam pertandingan itu: "Apa yang boleh saya katakan? Ia sangat sukar.

"Saya rasa kami kekurangan daripada segi keamatan. Malangnya kami dihukum oleh jaringan lewat permainan.

"Kami cuba meningkatkan prestasi dalam liga dan kami akan cuba memenangi sebanyak mungkin perlawanan. Kami akan melihat sejauh manakah peluang yang kami ada untuk layak (Liga Juara-Juara)."



Pengurus The Gunners, Mikel Arteta, pula mengakui barisan pemainnya sendiri yang mengundang masalah sambil berhasrat untuk mengalihkan tumpuan mereka kepada saingan liga.

"Ia begitu menyakitkan. Kami menyimpan hasrat besar dalam pertandingan ini, ia sangat penting buat kami," katanya kepada BT Sport.

"Secara emosinya, ia adalah satu perlawanan yang amat sukar, kami dalam kawalan penuh. Sekali lagi kami dibolosi melalui situasi bola mati dan ia meletakkan kami dalam kedudukan yang sukar.

"Ia adalah satu kekecewaan besar tetapi pada masa yang sama, saya sangat bangga dengan barisan pemain. Usaha yang mereka pamerkan malam ini adalah luar biasa, mereka amat bersabar.

"Ia pasti akan menjadi dorongan yang luar biasa sekiranya kami memenangi perlawanan ini tetapi pada akhirnya kami perlu akur dengan hakikat ini.

"Kami perlu bertindak balas sebagai sebuah pasukan. Mereka mendapat sokongan saya menerusi corak permainan yang mereka tonjolkan. Tetapi penyingkiran ini sesuatu yang menyakitkan. "