Pierre-Emerick Aubameyang berkata dia akan kekal di Borussia Dortmund walaupun telah memikirkan tawaran lumayan dari China selepas memberitahu kelabnya untuk menerima cabaran baru.

Pemain berusia 28 tahun itu, yang telah menjaringkan 40 gol dalam semua kejohanan musim lalu, mengesahkan dia telah menerima tawaran daripada China, sebelum mengambil keputusan untuk menolaknya.

Aubameyang mendedahkan bahawa dia memberitahu Dortmund bahawa dia sudah bersedia untuk menerima cabaran baru tetapi kini menyatakan bahawa dia gembira untuk kekal selepas kelab-kelab gergasi Eropah seperti AC Milan, Chelsea dan Liverpool yang berminat dengan penyerang itu tidak menawarkan kontrak kepadanya.

"Benar saya telah bercakap dengan kelab sebelum saya pergi bercuti," kata Aubameyang.

"Saya memberitahu mereka keinginan saya, bahawa saya mungkin sudah bersedia untuk mencuba sesuatu yang baru. Perbincangan yang dilakukan bersama Michael Zorc dan Hans-Joachim Watzke bersifat terbuka dan adil.

"Tetapi kelab yang berminat dengan saya tidak menawarkan kontrak, jadi saya memilih untuk terus bersama Dortmund. Saya sangat selesa dan rasa seperti di rumah jika bersama Dortmund.

"China juga merupakan antara pilihan saya. Sukar untuk menolak tawaran yang sangat lumayan.

"Saya menyedari bahawa berhijrah ke China adalah bukan keputusan yang tepat tetapi sekurang-kurangnya, mereka menawarkan wang yang banyak.

Ditanya komitmen jangka panjangnya bersama BVB, Aubameyang menjawab, "Tiada siapa yang boleh mengatakan apa yang akan berlaku pada masa akan datang.

"Saya mahu cuba memberikan yang terbaik dalam karier saya. Saya baru berusia 28 tahun dan banyak lagi kejuaraan boleh dikecapi pada masa akan datang."

Aubameyang menjaringkan gol dalam aksi Piala Super-DFL berdepan Bayern Munich kelmarin tetapi pasukannya tewas 5-4 menerusi penentuan sepakan penalti selepas seri 2-2.