Atalanta tambah garam di luka Gattuso

By Shaiful Shamsudin 11 February 2021 228
 Atalanta tambah garam di luka Gattuso
ATALANTA 3 NAPOLI 1 

Gennaro Gattuso melenting apabila masa depan depannya di Napoli mula dipersoalkan berikutan kekalahan 1-3 kepada Atalanta dalam separuh akhir Coppa Italia, awal pagi tadi. 


Sentuhan pemusnah Duvan Zapata di  Stadio Atleti Azzurri d'Italia memastikan Atalanta menempah tiket ke final Coppa buat kali kedua dalam tempoh tiga musim terakhir.

Penyerang itu membuka tirai gol perlawanan sebelum mencipta umpanan untuk jaringan Matteo Pessina dalam babak pembukaan bagi memberi kelebihan kepada skuad bimbingan Gian Piero Gasperini berkenaan. 

Jaringan Hirving Lozano menyalakan sisa harapan Napoli pada awal babak kedua, tetapi Zapata dan Pessina sekali lagi bergabung untuk jaringan ketiga dan membawa Atalanta bertemu Juventus di pentas akhir menerusi kejayaan agregat 3-1.

Napoli menguasai tangga keenam Serie A -- selepas merekodkan tujuh kekalahan -- dan khabar angin mula bertiup dalam beberapa minggu kebelakangan ini bahawa pengurus yang dilantik musim lalu itu sedang menyelamatkan pekerjaannya.

Napoli akan menghadapi Juve, awal pagi Ahad ini, dan tatkala masa depannya selepas perlawanan itu menjadi persoalan, bekas pemain tengah Itali tersebut menegaskan pengurusan kelab pihak tepat yang harus menjawab pertanyaan berkenaan.

"Saya tidak tahu, anda harus bertanya kepada kelab," katanya. 

"Kapten kapal adalah saya. Ketika keadaan menjadi buruk, mereka mengorbankan kapten.

"Saya tidak mampu menganggap ini sebagai perlawanan terakhir saya atau tidak, saya harus berusaha dan terus yakin.

"Inilah adat seorang jurulatih. Saya bukan yang pertama mahupun yang terakhir tetapi saya mempunyai tugas untuk mencubanya hingga ke saat-saat akhir."

 

Tanpa pertahanan tengah utama, Kostas Manolas dan Kalidou Koulibaly, Napoli membenarkan 19 percubaan dilancarkan ke pintu gol mereka dengan tujuh daripadanya adalah tepat.

Tuan rumah memang berhak justeru Gasperini hanya mempunyai satu penyesalan.

"Ini adalah kepuasan yang luar biasa," katanya. 

"Kami menujukannya kepada peminat.

"Kami kesal tidak dapat meraikannya bersama mereka tetapi kemaraan ke final adalah tanda kesinambungan kerja kami. Pasukan ini sedang berada di puncak.

"Kami akan memikirkan final selepas ini. Bagi kami ini adalah satu kejayaan besar. Kemudian kami akan menentang pasukan luar biasa seperti Juventus.

"Kami akan berdepan perlawanan getir selepas ini, kami akan menjadi tuan rumah kepada Real Madrid (dalam Liga Juara-Juara). Ia akan menjadi satu pesta untuk Bergamo."

About Author

Shaiful Shamsudin

Comment